fbpx
 

News Kerajaan tidak membenarkan warga asing bekerja di barisan hadapan

August 6, 2020by Admin

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, menegaskan bahawa warga asing tidak dibenarkan bekerja dalam sektor tertentu sebagai pekerja barisan hadapan.

Menurutnya, ia bertujuan bagi memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk mendapat pekerjaan, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran negara. 

“Selepas mengambil kira pelbagai faktor, kerajaan tidak akan membuka sektor frontliner (barisan hadapan) kepada warga asing.”

“Bagaimanapun, jika di stesen minyak kita benarkan pekerja asing menjadi atendan pam tetapi mereka tidak bertugas di kaunter. Di kedai makan, kita benarkan pekerja asing menjadi tukang masak tetapi di barisan hadapan masih diperlukan pekerja tempatan.

“Ini antara langkah memastikan warga tempatan khususnya belia bekerja kerana golongan itu bakal menentukan hala tuju negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun jelas Saravanan, langkah ini tidak bermaksud menolak pekerja asing dalam bidang pekerjaan di Malaysia, namun mereka akan ditempatkan pada bidang yang lebih sesuai bergantung kepada sesebuah sektor tersebut. 

Berdasarkan kepada situasi sekarang, kadar pengangguran pada bulan Mei 2020 berada pada 5.3% atau 826,100 orang yang menganggur seperti data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kadar tersebut telah naik sebanyak 0.3% atau sebanyak 778,800 orang yang menganggur pada bulan April 2020. 

Menurut Intermanpower, kadar tersebut mula menunjukkan kenaikan yang sedikit berikutan pembukaan semula ekonomi pada bulan Mei. 

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan bantuan rangsangan ekonomi untuk membantu rakyat dan syarikat dalam mengharungi pandemik Covid-19. 

“Keadaan ekonomi semakin pulih secara beransuran, kami juga melihat pengambilan pekerja oleh kilang secara berperingkat yang menunjukkan mereka sedia membantu para penganggur mendapatkan pekerjaan.”

 

Adapted from Utusan Malaysia, 5 August 2020