fbpx
 

News Kadar Pengangguran pada bulan Mac 2020 meningkat sebanyak 17.1%

May 13, 2020by Admin

KUALA LUMPUR: Mengikut statistik yang terbaru dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaaan Malaysia pada 8 Mei 2020, jumlah penganggur pada bulan Mac telah meningkat sebanyak 17.1 peratus kepada 610,500 orang berbanding 521,300 orang pada bulan sama tahun lalu.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata ini menjadikan kadar pengangguran pada Mac 2020 meningkat kepada 3.9 peratus. Kadar pengangguran yang tertinggi ini dipengaruhi terutama oleh impak negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas pasaran buruh.

“Kadar pengangguran tertinggi negara yang pernah dicatatkan ialah pada kadar 7.4 peratus pada tahun 1986,” katanya dalam kenyataan mengumumkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia bulan Mac dan suku pertama 2020.

Beliau berkata, bilangan tenaga buruh pada Mac turun 0.2 peratus kepada 15.84 juta orang berbanding Februari 2020, dengan penduduk bekerja turut merosot 0.7 peratus kepada 15.23 juta orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 2.81 juta adalah bekerja sendiri seperti peniaga atau pengusaha kecil-kecilan dan seumpamanya yang menerima pendapatan harian.

“Mereka ini terdedah kepada risiko pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang boleh menjejaskan pendapatan semasa tempoh PKP kerana sebahagiannya tidak dapat bekerja dan mengusahakan perniagaan,” katanya.

Mengulas prestasi tenaga buruh pada suku pertama, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran meningkat kepada 3.5 peratus berbanding 3.2 peratus pada suku keempat 2019 berikutan kadar pengangguran yang melonjak pada Mac 2020 disebabkan oleh pandemic Covid19.

Beliau menegaskan, ini kadar pengangguran tertinggi yang pernah dicatatkan sejak suku kedua 2017. Katanya, bilangan penganggur pada suku pertama seramai 546,600 orang, naik 5.8 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.

“Daripada jumlah penganggur terbabit, penganggur siswazah menyumbang sebanyak 29.3 peratus. Peningkatan kadar pengangguran boleh dikaitkan dengan kesan negatif yang disebabkan oleh PKP,” katanya.

Kategori penganggur bagi kumpulan umur belia 15 hingga 30 tahun mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu 6.9 peratus diikuti 31 hingga 45 tahun (1.4 peratus) dan 46 hingga 64 tahun (1.1 peratus).

Pada masa yang sama, InterManpower akan terus berusaha untuk membantu para penganggur mencari pekerjaan bagi membantu mengurangkan kadar pengganguran di Malaysia.

 

Sumber: Berita Harian, 8 Mei 2020